Tuesday, 1 January 2013

Perutusan YDP MPP UNIMAS Bersempena TAHUN BARU 2013


Matahari menyelinap di balik bukit,
Sembunyikan kenangan hidup,
Menyimpan lembaran usang,
Menyambut hari-hari muda,
Sebentar lagi kan menjelang,
Selamat tahun baru 2013,
Harapan baru dan perubahan.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh, salam sejahtera dan salam kebitaraan,

Alhamdulillah. Marilah kita sama-sama menadah tangan memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana masih berkesempatan untuk meneruskan liku-liku kehidupan di buminya sehingga ke hari ini dan bakal meniti ke tahun yang bersilih ganti. Tahun 2012 bakal melabuhkan tirai dan bakal menjelma lembaran sinar 2013 yang hanya pasti berlaku sebentar lagi. Di kesempatan ini, saya dengan penuh rasa rendah diri mewakili barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru 2013’ khususnya kepada seluruh warga UNIMAS dan tidak lupa kepada rakyat Malaysia.

Tatkala sebilangan warga UNIMAS mengenang beberapa perkara yang berjaya dicapai atau sebaliknya pada tahun 2012, diharapkan sebilangan besar warga UNIMAS juga siap bersedia mengharung tahun 2013 dengan yakin dan tawakal bersama pucuk pimpinan kini sama ada pihak pengurusan UNIMAS atau pihak Majlis Perwakilan Pelajar. Tahun baru menjadi lambang harapan baru bagi setiap orang di mana kebanyakan orang berharap tahun depan akan menjadi tahun yang lebih baik dari sebelumnya. Harapan kami, agar semua warga UNIMAS dapat menyokong dan membantu kami sebaiknya bagi memastikan hasrat dan impian kami sama-sama direalisasikan oleh anda semua.

Meskipun tanpa percikan bunga api, meskipun tanpa diwarnai dengan hiburan-hiburan, saya percaya tahun baru 2013 lebih bermakna dari acara tahun-tahun baru sebelumnya. Selamat memasuki tahun 2013 dan semoga tahun baru ini kita diberikan kesihatan tubuh badan, panjang umur, dimurahkan rezeki dan kemudahan dalam hidup. Satu tahun telah kita jalani, semoga amalan-amalan kita pada tahun ini dapat ditingkatkan, dan amalan tercela kita tahun lalu dapat ditinggalkan.

Sucikan jiwa, Murnikan hati,
Mari mengucapkan Basmallah tatkala pertama kali menapak tahun baru 2013.

Mahasiswa-mahasiswi UNIMAS yang dikasihi,

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan ‘Selamat menghadapi peperiksaan akhir tahun’ yang akan tiba beberapa hari lagi. Selamat maju jaya dalam perjuangan anda sekalian. InsyaAllah, kejayaan akan dikecapi dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal.

Marilah kita semua mengekalkan keamanan  dan semangat kerjasama yang masih terpahat padu di dalam hati sanubari warga UNIMAS ini. Ini adalah perkara yang sangat utama memastikan UNIMAS bergerak maju demi keharmonian dan kesejahteraan. Kita tidak akan tampak hebat dengan jika tidak bersatu. Dengan semangat ini, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 dan Selamat menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi di Universiti Malaysia Sarawak.

Masa lalu adalah sejarah,
Hari ini adalah goresan,
Hari esok adalah harapan,
Selamat datang tahun baru 2013,
Seiring dengan perginya kenangan, menyambut harapan,
Selamat tinggal kenangan, selamat datang harapan.
Semoga Allah sentiasa memberi taufik, perlindungan dan rahmat kepada seluruh warga UNIMAS  dan dimasukkan kita di dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman.

Sekian,

Wassalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam kebitaraan.

“Kepimpinan Bitara Pencetus Generasi Mahasiswa Profesional”

Muhammad ZulSyafiq bin Abdul Wahab,
Yang Dipertua,
Majlis Perwakilan Pelajar 2012/2013,
Universiti Malaysia Sarawak.

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Daripada Majlis Perwakilan Pelajar 2012





Assalamualaikum dan Salam Kebitaraan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sarawak,

Kami daripada Majlis Perwakilan Pelajar 2012 Universiti Malaysia Sarawak ingin mengucapkan;

"Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 1, 2012/2013"


Semoga kita semua dipermudahkan untuk menjawab soalan peperiksaan akhir dan dapat menjawabnya dengan cemerlang, 

Doa Dipermudahkan Segala Urusan;

"Ya ALLAH tiada yang mudah melainkan ENGKAU jadikannya mudah dan tiada kedukaan melainkan ENGKAU akan hilangkan"


InsyaAllah,

Ikhlas daripada kami,
Majlis Perwakilan Pelajar 2012,
Universiti Malaysia Sarawak.

Jadual Bas Semasa Final Exam



**FINAL DRAFT
** No more amendments will be made.
Extra buses are allocated for the time where there will be a lot of students sitting for exams.
Peak hour:
* off campus: up to 7 buses
Desa Ilmu 5 buses
Uni Garden 2 buses
* on campus : up to 6 buses
Especially for students staying at Timur
A1 and B1 : additional 1 buses each

** Please take note of the time and number of buses available. We will not be responsible if you missed the buses. No calls will be entertained. We have given extra buses for this exam period. Thank you

**Please share it at your own wall, friends wall, and groups.
Your cooperation is very much appreciated.

Please wait for the bus early. We are not responsible if you miss any of the buses.
There are lots of buses which are currently in bad conditions, hopefully everything is alright by finals.

For those with smart phones, please save it.
For those without smart phones, please print it.

Thank you very much.

Regards,
Carol Liew Tze Woon
All the best in your exams.



Tuesday, 18 December 2012

Majlis Simbolik Penyerahan Kad SISWA


UNIMAS, 10 November 2012: Majlis Simbolik Penyerahan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia dan Bantuan Penyelidikan Program Mentor: 1 IPTA 1 Menteri telah diadakan di Student Pavillion, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Majlis ini tekah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Menteri Mentor Universiti Malaysia Sarawak. Turut hadir pada majlis itu adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak iaitu Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.

Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia adalah bantuan dan insentif kerajaan yang diberikan untuk meringankan beban pelajar. Majlis penyerahan kad diskaun siswa pada kali ini adalah yang kali kedua selepas penyerahan pada tahun 2011.

Dalam ucapan Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid, beliau mengharapkan pelajar dapat memanfaatkan kad diskaun tersebut dengan baik kerana ianya mempunyai banyak kepentingan bukan sahaja dalam pembelajaran malahan dalam hal lain-lain juga. Beliau menyatakan sebanyak 4,000 kad diskaun siswa yang dikeluarkan untuk pelajar tahun satu pada kali ini.

YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui selaku Menteri Mentor universiti ini menyatakan beliau berasa gembira dapat melawat Universiti Malaysia Sarawak dan melihat perkembangannya yang begitu pesat dari semasa ke semasa. Ini kerana, jumlah pelajar UNIMAS telah mencecah sebanyak 14,000 orang pelajar dan merupakan suatu jumlah yang begitu banyak. Dalam ucapan beliau juga, beliau menyatakan kepentingan dan kegunaan kad diskaun siswa itu serta cabaran dan peranan siswa dalam menjalani kehidupan seharian.

Malahan, beliau turut bercakap mengenai Kempen Kesedaran Hijau yang perlu diamalkan oleh setiap pelajar di universiti. Kempen ini diharap dapat penglibatan daripada semua pelajar dan pihak universiti dapat melaksanakannya dengan jayanya. “Pada tahun 2011, sejumlah RM130,000 diberikan khas untuk membuat kajian berkaitan dengan tenaga, teknologi hijau dan air. Ini merupakan satu inisiatif untuk membantu pelajar membuat penyelidikan dan penemuan baru seiring dengan perkembangan inovasi dan idea baru hasil daripada para pelajar” kata ucapan daripada YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui pada majlis itu. Pada majlis kali ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Menteri Mentor Universiti Malaysia Sarawak telah menyerahkan Bantuan Penyelidikan Program Mentor sebanyak RM70,000 sebagai bantuan penyelidikan berterusan kepada para pelajar. Diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan memberikan hasil yang terbaik selaras dengan usaha gagasan kerajaan 1 Malaysia.

Perjumpaan Bersama Penetap Luar UNIMAS


13 Disember 2012: Isu bas makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan pelajar yang menetap luar daripada kolej. Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menetap luar kebanyakannya menetap di bahagian-bahagian berdekatan Desa Ilmu, Kota Samarahan seperti Flat Everise, Vista Ilmu, Apple Cross dan UniGarden. Ini adalah kerana jumlah pelajar yang ada pada masa kini tidak dapat ditampung sepenuhnya untuk menetap dalam kolej kediaman UNIMAS. Bagi memudahkan perjalanan pelajar daripada UNIMAS ke luar UNIMAS dan sebaliknya, pihak universiti telah menyediakan beberapa buah bas sebagai kemudahan mereka. Bas yang disediakan adalah sebanyak satu atau dua buas bas pada setiap waktu yang ditetapkan. Perjalanan bas untuk penetap luar UNIMAS adalah bermula daripada awal pagi iaitu setiap setengah jam selepas itu. Pada waktu malam, bas juga turut disediakan bagi pelajar yang mempunyai kelas pada waktu malam di mana bas terakhir adalah pada jam 11.00 malam. Namun begitu, pihak Majlis Perwakilan Pelajar sentiasa mendapat aduan bahawa bas yang disediakan sentiasa tidak mencukupi memandangkan jumlah pelajar universiti semakin bertambah dari tahun ke tahun. Mengikut tinjauan, hampir separuh daripada pelajar UNIMAS menetap di luar disebabkan tempat yang tidak mencukupi di kolej-kolej kediaman, UNIMAS. Disebabkan itu, bas yang berulang alik daripada UNIMAS ke luar UNIMAS sentiasa penuh pada waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh pihak UNIMAS.

Hasil daripada tinjauan yang dijalankan, didapati jumlah bas yang bertugas untuk mengambil penetap luar adalah tidak konsisten mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan. Terdapat waktu-waktu kemuncak seperti waktu awal pagi di mana waktu itu kebanyakan pelajar mempunyai kelas pagi dan bas yang ada pada waktu itu langsung tidak dapat memuatkan jumlah pelajar tersebut. Namun begitu, dapat dikatakan hampir setiap waktu adalah waktu kemuncak dan bas yang ada sentiasa pehuh dan tidak mencukupi. Ini kerana adakalanya hanya terdapat satu bas pada satu waktu dan adakalanya dua bas pada satu waktu. Ini menyukarkan pelajar sehinggakan terdapat pelajar yang cedera akibat terlalu berebut untuk menaiki bas. Antara tempat tumpuan dan perhentian bas bagi pelajar penetap luar adalah bahagian depan Flat Everise dan Apple Cross. Selain itu, bas UNIMAS juga akan mengambil pelajar yang tinggal berdekatan dengan UniGarden yang terletak berhadapan dengan pintu depan UNIMAS. Tetapi, jumlah pelajar yang tinggal di bahagian UniGarden tidak sebanyak jumlah pelajar yang menetap di bahagian Desa Ilmu.

Menurut salah seorang pelajar UNIMAS iaitu Aisyah yang kini berada di tahun 3, dia menyatakan bahawa jumlah bas yang disediakan tidak mencukupi seiring dengan pertambahan pelajar yang semakin bertambah pada waktu kini. Setiap kali hendak ke kelas, mereka akan meghadapi masalah yang sama iaitu berebut-rebut untuk menaiki bas sehinggakan terdapat pelajar yang jatuh. Menurutnya lagi, apabila bas di hadapan Flat Everise telah penuh, pelajar yang tinggal di bahagian Apple Cross tidak akan dapat menaiki bas dan terpaksa berjalan kaki ke Depo Bas, UNIMAS. Bas juga tidak konsisten dengan waktu katanya lagi kerana hanya satu ataupun dua buah bas pada satu waktu sedangkan ketika itu ramai pelajar yang menunggu bas untuk ke kuliah. Begitu juga pada waktu malam di mana bas yang bergerak ke luar UNIMAS ada ketikanya terlalu lambat sehinggakan pelajar terpaksa menaiki bas dan turun di depo bas kemudian berjalan kaki ke Desa Ilmu. Ini amat membahayakan terutamanya kepada pelajar perempuan kerana semakin banyak kes yang tidak dijangkakan berlaku.

Katanya lagi “Saya dan penetap luar yang lain berharap agar pihak UNIMAS dapat menambahkan bilangan bas lagi supaya dapat menampung jumlah pelajar yang semakin ramai. Begitu juga dengan jumlah bas yang perlu konsisten dalam satu waktu kerana satu bas yang datang tidak mencukupi untuk mengambil pelajar yang ramai menetap luar. Sekurangnya, perlu ada bas lebih kurang dua buah pada setiap satu waktu perjalanan. Ini akan memudahkan dan menjamin keselamatan pelajar agar tidak perlu berebut-berebut menaiki bas. Kami akan menghargai segala apa yang UNIMAS telah lakukan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan penetap luar seperti kami”.


Bicara Siswa

Mahasiswa merupakan aset jangka masa panjang negara kerana golongan yang berpendidikan inilah yang bakal memimpin negara kelak. Umum mengetahui, mahasiswa dan politik merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Dengan pendedahan kepada dunia politiklah pemikiran matang mahasiswa akan dapat dipupuk. Namun, kegiatan politik dikalangan mahasiswa sering dikaitkan dengan dua lagi perkataan, sama ada patriotik atau fanatik. 
Bicara Kampus, sebuah rancangan bual bicara ilmiah terbitan RTM TV1 telah dirakamkan di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak pada pada 16 November 2012 . Rancangan yang bakal ke udara selama satu jam ini dihoskan oleh Zulkifli Bujang dengan panel- panel jemputan yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertahan Kestabilan Sarawak, Hj. Wan Hamzah Wan Paie, Wakil MPP University of Technology Swinburne, iaitu Nurajwani Senian dan YDP MPP Universiti Malaysia Sarawak, Muhammad Zul Syafiq bin Abdul Wahab. 
Untuk episod ini, tajuk yang telah dibincangkan ialah “Mahasiswa Masa Kini: Patriotik atau Fanatik”. Dalam perbincangan, Hj. Wan Hamzah Paie berpendapat bahawa tidak salah sekiranya seseorang mahasiswa itu mahu berpolitik, namun biarlah kena pada tempat dan ketikanya. Mengambil contoh peperangan di Palestin, beliau memberikan persoalan kepada penonton sama ada tindakan Israel membunuh rakyat Palestin adalah tindakan yang patriotik dan adakah tindakan rakyat Palestin yang berjuang habis- habisan dikatakan fanatik? Beliau turut membandingkan perjuangan mahasiswa masa kini dengan mahasiswa universiti pada tahun 70- an dimana secara rasionalnya mahasiswa ketika itu lantang dalam menyuarakan kemahuan mereka kerana pada ketika itu banyak kekangan yang boleh disuarakan kepada peringkat tertinggi. 
Muhammad Zul Syafiq bin Abdul Wahab,YDP MPP Universiti Malaysia Sarawak turut bersetuju dengan pendapat Hj. Wan Hamzah dimana Muhammad Zul Syafiq berkata perjuangan bagi seseorang mahasiswa biarlah didahulukan dengan hal akademik terlebih dahulu agar mereka dapat menyediakan diri untuk masa depan. Wakil MPP University of Technology Swinburne, Nurajwani Senian memberitahu bahawa perbezaan perjuangan politik pelajar universiti swasta adalah dimana sebagai mahasiswa universiti swasta terdapat kekangan polisi yang perlu mereka patuhi. Tambahnya lagi pelajar di universiti swasta masih boleh menegakkan isu luar selain hal akedemik, namun ia juga bergantung kepada keberanian pelajar itu sendiri untuk bersuara mengenai perjuangannya.
Di akhir perbincangan, panel- panel jemputan bersepakat bahawa seseorang mahasiswa harus menentukan perjuangan mereka di landasan yang betul kerana perjuangan seseorang mahasiswa dalam menuntut ilmu dan kesarjanaan itulah yang paling utama.