Wednesday, 3 April 2013

Bengkel Sehari Bersama Setiausaha Dan Bendahari



Bengkel Sehari Bersama Setiausaha dan Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah diadakan pada 30 Mac 2013 di Bilik Softskills, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEP), UNIMAS.

Sesi pertama bengkel ini dimulakan dengan pembentangan dari Setiausaha Agong MPP UNIMAS, Farah Adibah binti Ramlee. Beliau telah menerangkan mengenai format yang perlu diikuti oleh mahasiswa/i yang bertanggungjawab dalam penyediaan kertas kerja, memo, minit mesyuarat dan laporan program. Menurut beliau, setiap kertas kerja program amat digalakkan untuk diserahkan kepadanya bagi tujuan semakan. Ini adalah penting dalam memastikan keselarasan dan ketepatan format telah ditepati oleh pemohon yang ingin menganjurkan program.

Pembentangan seterusnya disampaikan oleh Lim Tien Ping, Bendahari Kehormat MPP UNIMAS. Beliau telah membentangkan format penyediaan anggaran pendapatan dan perbelanjaan program, laporan kewangan, serta penajaan dengan lebih lanjut.

Untuk sesi petang, Encik Asri Ali iaitu Penolong Pendaftar, Hal Ehwal Pelajar telah menerangkan mengenai prosedur- prosedur yang perlu dipatuhi oleh mahasiswa/i yang ingin menganjurkan program.

Menurut Lim Tien Ping, antara objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk menyelaraskan penggunaan format kertas kerja, memo, minit mesyuarat, laporan kewangan serta prosedur kewangan dalam penganjuran aktiviti kegiatan pelajar selain meningkatkan pemahaman para mahasiswa/i dalam prosedur carta alir pelaksanaan aktiviti pelajar. Beliau berharap agar dengan penganjuran bengkel ini, semua mahasiswa/i UNIMAS yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses permohonan perlaksanaan program dapat mematuhi format- format yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment