Sunday 28 April 2013

Mahasiswa 1Malaysia



    Dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara, pemimpin dan rakyatnya haruslah berjiwa patriotik. Jadi, untuk mengupas dengan lebih lanjut mengenai isu- isu patriotisme dalam kalangan warganegara, Program Mahasiswa 1Malaysia telah diadakan pada 24 Mei lepas di Dewan Mutiara, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

     Pembentang pertama dalam perbincangan ini ialah, Lt. Jen (B) Dato’ Seri Panglima Zaini b. Mohd Said. Tajuk yang telah dibentangkan ialah , “Patriotisme (Kesetianegaraan): Cinta dan Dedikasi Kepada Negara”. Lt. Jen (B) Dato’ Seri Panglima Zaini yang bersara pada 15 Ogos 2001 telah banyak menabur bakti kepada negara semenjak penglibatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula pada tahun 1965. Antara sumbangan beliau ialah ketika Kontfrontasi Malaysia- Indonesia, operasi memburu dan mengawal komunis, dan mengetuai  OPS 304 iaitu sebuah operasi untuk menumpaskan kumpulan militan Al- Maunah.

    Dalam pembentangan, beliau telah menceritakan sejarah dan pahit getir yang telah Malaysia lalui sebelum mencapai keamanan dan kebebasan bermula dari era penjajahan sehinggalah ancaman komunis dan Kontfrontasi Malaysia- Indonesia. Menurutnya, semangat patriotisme perlu ada dalam diri setiap warganegara kerana melalui patriotisme, rasa cita dan kesetiaan warganegara akan dapat diperkukuhkan. Erti kata patriotisme disini bukanlah sekadar dengan mengibarkan bendera, namun ia lebih daripada itu, iaitu sejauh manakah sumbangan kita kepada negara dan bagaimana kita menyumbang kepada negara. Beliau turut memetik sebuah kata pujangga iaitu jangan ditanyakan apa sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah apa sumbangan kita terhadap negara.

    Sesi perkongsian ilmu diteruskan dengan pembentangan oleh Pegawai Khas Datuk Ketua Pengarah iaitu Encik Mohd Faizal bin Hj. Lamat dengan tajuk “Generasi Y- Pewaris Negara” yang membincangkan betapa pentingnya peranan Generasi Y sebagai pengerak dan pewaris negara. Generasi Y merupakan istilah yang merujuk kepada kelompok generasi yang lahir pada penghujung 80-an dan 90-an. Menurutnya, golongan Generasi Y kini merupakan golongan belia yang sudah matang dan mereka inilah yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju negara selepas ini.

    Pelbagai maklumat dan cadangan kepada Generasi Y telah disampaikan melalui perbincangan dan soal jawab bersama mahasiswa/i yang hadir. Afiq (21), memberitahu program sebegini patut dilakukan dengan lebih kerap mahasiswa/i sedar akan tanggungjawab dan kepentingan mereka dalam membangunkan negara. 

No comments:

Post a Comment