Sunday, 17 March 2013

UNIMAS CNY CARNIVAL “Cultural Performance Night”

Perayaan Tahun Baru Cina merupakan tradisi Tiong Hua (Cina) yang diwarisi secara turun temurun. Oleh itu, masyarakat Cina Malaysia turut tidak ketinggalan dalam meraikannya dan pada masa kini, perayaan ini turut sama diraikan semua rakyat Malaysia.

Namun begitu, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tidak ketinggalan untuk meraikan Perayaan Tahun Baru Cina pada setiap tahun dan kali ini adalah program kali ketiga yang diadakan pada tahun ini. Program ini bertujuan untuk semua mengenali kebudayaan cina tanpa halangan disamping dapat memeriahkan lagi suasana kampus. Paling penting, program ini dapat mengeratkan hubungan antara semua bangsa dalam kalangan warga UNIMAS.

Antara jemputan yang hadir pada “Cultural Performance Night” adalah Timbalan Naib Canselor UNIMAS iaitu Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman, wakil Yang Berhormat Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui, Dr Philip Nuli Anding selaku Timbalan Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar iaitu Lim Thien Ping. Pada malam itu, ketibaan disambut dan dimulai dengan tarian singa yang mana ianya adalah persembahan wajib pada setiap perayaan Tahun Baru Cina.

Dalam ucapan Naib Canselor UNIMAS iaitu Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman pada malam itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar cina yang telah menganjurkan program ini dengan jayanya. Beliau mengharapkan program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana program seperti ini mewujudkan semangat toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar UNIMAS itu sendiri. Semua pelajar juga diharapkan dapat menyokong untuk meneruskan program seperti ini pada tahun akan datang dan diadakan dengan lebih meriah.

Pada malam itu, wakil daripada Yang Berhormat Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui mengatakan sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Yang Berhormat Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui diberikan bagi mengadakan program yang lebih meriah pada tahun akan datang. Dengan itu, diharapkan program seperti ini sentiasa mendapat sokongan bukan sahaja daripada pelajar cina itu sendiri malahan kepada pelajar semua bangsa yang ada dalam UNIMAS ini. Ini kerana, program seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan sillaturrahim malahan memperkenalkan budaya dan adat setiap bangsa yang ada di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment