Mahasiswa merupakan aset jangka masa panjang negara kerana
golongan yang berpendidikan inilah yang bakal memimpin negara kelak. Umum
mengetahui, mahasiswa dan politik merupakan dua perkara yang tidak dapat
dipisahkan. Dengan pendedahan kepada dunia politiklah pemikiran matang
mahasiswa akan dapat dipupuk. Namun, kegiatan politik dikalangan mahasiswa
sering dikaitkan dengan dua lagi perkataan, sama ada patriotik atau
fanatik.
Bicara Kampus, sebuah rancangan bual bicara ilmiah terbitan
RTM TV1 telah dirakamkan di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia
Sarawak pada pada 16 November 2012 . Rancangan yang bakal ke udara selama satu
jam ini dihoskan oleh Zulkifli Bujang dengan panel- panel jemputan yang terdiri
daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertahan Kestabilan Sarawak, Hj. Wan
Hamzah Wan Paie, Wakil MPP University of Technology Swinburne, iaitu Nurajwani
Senian dan YDP MPP Universiti Malaysia Sarawak, Muhammad Zul Syafiq bin Abdul
Wahab.
Untuk episod ini, tajuk yang telah dibincangkan ialah
“Mahasiswa Masa Kini: Patriotik atau Fanatik”. Dalam perbincangan, Hj. Wan
Hamzah Paie berpendapat bahawa tidak salah sekiranya seseorang mahasiswa itu
mahu berpolitik, namun biarlah kena pada tempat dan ketikanya. Mengambil contoh
peperangan di Palestin, beliau memberikan persoalan kepada penonton sama ada
tindakan Israel membunuh rakyat Palestin adalah tindakan yang patriotik dan
adakah tindakan rakyat Palestin yang berjuang habis- habisan dikatakan fanatik?
Beliau turut membandingkan perjuangan mahasiswa masa kini dengan mahasiswa
universiti pada tahun 70- an dimana secara rasionalnya mahasiswa ketika itu
lantang dalam menyuarakan kemahuan mereka kerana pada ketika itu banyak
kekangan yang boleh disuarakan kepada peringkat tertinggi.
Muhammad Zul Syafiq bin Abdul Wahab,YDP MPP Universiti
Malaysia Sarawak turut bersetuju dengan pendapat Hj. Wan Hamzah dimana Muhammad
Zul Syafiq berkata perjuangan bagi seseorang mahasiswa biarlah didahulukan
dengan hal akademik terlebih dahulu agar mereka dapat menyediakan diri untuk
masa depan. Wakil MPP University of Technology Swinburne, Nurajwani Senian
memberitahu bahawa perbezaan perjuangan politik pelajar universiti swasta
adalah dimana sebagai mahasiswa universiti swasta terdapat kekangan polisi yang
perlu mereka patuhi. Tambahnya lagi pelajar di universiti swasta masih boleh
menegakkan isu luar selain hal akedemik, namun ia juga bergantung kepada
keberanian pelajar itu sendiri untuk bersuara mengenai perjuangannya.
Di akhir perbincangan, panel- panel jemputan bersepakat
bahawa seseorang mahasiswa harus menentukan perjuangan mereka di landasan yang
betul kerana perjuangan seseorang mahasiswa dalam menuntut ilmu dan kesarjanaan
itulah yang paling utama.
No comments:
Post a Comment