Tuesday, 18 December 2012

Majlis Simbolik Penyerahan Kad SISWA


UNIMAS, 10 November 2012: Majlis Simbolik Penyerahan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia dan Bantuan Penyelidikan Program Mentor: 1 IPTA 1 Menteri telah diadakan di Student Pavillion, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Majlis ini tekah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Menteri Mentor Universiti Malaysia Sarawak. Turut hadir pada majlis itu adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak iaitu Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.

Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia adalah bantuan dan insentif kerajaan yang diberikan untuk meringankan beban pelajar. Majlis penyerahan kad diskaun siswa pada kali ini adalah yang kali kedua selepas penyerahan pada tahun 2011.

Dalam ucapan Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid, beliau mengharapkan pelajar dapat memanfaatkan kad diskaun tersebut dengan baik kerana ianya mempunyai banyak kepentingan bukan sahaja dalam pembelajaran malahan dalam hal lain-lain juga. Beliau menyatakan sebanyak 4,000 kad diskaun siswa yang dikeluarkan untuk pelajar tahun satu pada kali ini.

YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui selaku Menteri Mentor universiti ini menyatakan beliau berasa gembira dapat melawat Universiti Malaysia Sarawak dan melihat perkembangannya yang begitu pesat dari semasa ke semasa. Ini kerana, jumlah pelajar UNIMAS telah mencecah sebanyak 14,000 orang pelajar dan merupakan suatu jumlah yang begitu banyak. Dalam ucapan beliau juga, beliau menyatakan kepentingan dan kegunaan kad diskaun siswa itu serta cabaran dan peranan siswa dalam menjalani kehidupan seharian.

Malahan, beliau turut bercakap mengenai Kempen Kesedaran Hijau yang perlu diamalkan oleh setiap pelajar di universiti. Kempen ini diharap dapat penglibatan daripada semua pelajar dan pihak universiti dapat melaksanakannya dengan jayanya. “Pada tahun 2011, sejumlah RM130,000 diberikan khas untuk membuat kajian berkaitan dengan tenaga, teknologi hijau dan air. Ini merupakan satu inisiatif untuk membantu pelajar membuat penyelidikan dan penemuan baru seiring dengan perkembangan inovasi dan idea baru hasil daripada para pelajar” kata ucapan daripada YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui pada majlis itu. Pada majlis kali ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Menteri Mentor Universiti Malaysia Sarawak telah menyerahkan Bantuan Penyelidikan Program Mentor sebanyak RM70,000 sebagai bantuan penyelidikan berterusan kepada para pelajar. Diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan memberikan hasil yang terbaik selaras dengan usaha gagasan kerajaan 1 Malaysia.

No comments:

Post a Comment