Tuesday, 18 December 2012

Perjumpaan Bersama Penetap Luar UNIMAS


13 Disember 2012: Isu bas makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan pelajar yang menetap luar daripada kolej. Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menetap luar kebanyakannya menetap di bahagian-bahagian berdekatan Desa Ilmu, Kota Samarahan seperti Flat Everise, Vista Ilmu, Apple Cross dan UniGarden. Ini adalah kerana jumlah pelajar yang ada pada masa kini tidak dapat ditampung sepenuhnya untuk menetap dalam kolej kediaman UNIMAS. Bagi memudahkan perjalanan pelajar daripada UNIMAS ke luar UNIMAS dan sebaliknya, pihak universiti telah menyediakan beberapa buah bas sebagai kemudahan mereka. Bas yang disediakan adalah sebanyak satu atau dua buas bas pada setiap waktu yang ditetapkan. Perjalanan bas untuk penetap luar UNIMAS adalah bermula daripada awal pagi iaitu setiap setengah jam selepas itu. Pada waktu malam, bas juga turut disediakan bagi pelajar yang mempunyai kelas pada waktu malam di mana bas terakhir adalah pada jam 11.00 malam. Namun begitu, pihak Majlis Perwakilan Pelajar sentiasa mendapat aduan bahawa bas yang disediakan sentiasa tidak mencukupi memandangkan jumlah pelajar universiti semakin bertambah dari tahun ke tahun. Mengikut tinjauan, hampir separuh daripada pelajar UNIMAS menetap di luar disebabkan tempat yang tidak mencukupi di kolej-kolej kediaman, UNIMAS. Disebabkan itu, bas yang berulang alik daripada UNIMAS ke luar UNIMAS sentiasa penuh pada waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh pihak UNIMAS.

Hasil daripada tinjauan yang dijalankan, didapati jumlah bas yang bertugas untuk mengambil penetap luar adalah tidak konsisten mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan. Terdapat waktu-waktu kemuncak seperti waktu awal pagi di mana waktu itu kebanyakan pelajar mempunyai kelas pagi dan bas yang ada pada waktu itu langsung tidak dapat memuatkan jumlah pelajar tersebut. Namun begitu, dapat dikatakan hampir setiap waktu adalah waktu kemuncak dan bas yang ada sentiasa pehuh dan tidak mencukupi. Ini kerana adakalanya hanya terdapat satu bas pada satu waktu dan adakalanya dua bas pada satu waktu. Ini menyukarkan pelajar sehinggakan terdapat pelajar yang cedera akibat terlalu berebut untuk menaiki bas. Antara tempat tumpuan dan perhentian bas bagi pelajar penetap luar adalah bahagian depan Flat Everise dan Apple Cross. Selain itu, bas UNIMAS juga akan mengambil pelajar yang tinggal berdekatan dengan UniGarden yang terletak berhadapan dengan pintu depan UNIMAS. Tetapi, jumlah pelajar yang tinggal di bahagian UniGarden tidak sebanyak jumlah pelajar yang menetap di bahagian Desa Ilmu.

Menurut salah seorang pelajar UNIMAS iaitu Aisyah yang kini berada di tahun 3, dia menyatakan bahawa jumlah bas yang disediakan tidak mencukupi seiring dengan pertambahan pelajar yang semakin bertambah pada waktu kini. Setiap kali hendak ke kelas, mereka akan meghadapi masalah yang sama iaitu berebut-rebut untuk menaiki bas sehinggakan terdapat pelajar yang jatuh. Menurutnya lagi, apabila bas di hadapan Flat Everise telah penuh, pelajar yang tinggal di bahagian Apple Cross tidak akan dapat menaiki bas dan terpaksa berjalan kaki ke Depo Bas, UNIMAS. Bas juga tidak konsisten dengan waktu katanya lagi kerana hanya satu ataupun dua buah bas pada satu waktu sedangkan ketika itu ramai pelajar yang menunggu bas untuk ke kuliah. Begitu juga pada waktu malam di mana bas yang bergerak ke luar UNIMAS ada ketikanya terlalu lambat sehinggakan pelajar terpaksa menaiki bas dan turun di depo bas kemudian berjalan kaki ke Desa Ilmu. Ini amat membahayakan terutamanya kepada pelajar perempuan kerana semakin banyak kes yang tidak dijangkakan berlaku.

Katanya lagi “Saya dan penetap luar yang lain berharap agar pihak UNIMAS dapat menambahkan bilangan bas lagi supaya dapat menampung jumlah pelajar yang semakin ramai. Begitu juga dengan jumlah bas yang perlu konsisten dalam satu waktu kerana satu bas yang datang tidak mencukupi untuk mengambil pelajar yang ramai menetap luar. Sekurangnya, perlu ada bas lebih kurang dua buah pada setiap satu waktu perjalanan. Ini akan memudahkan dan menjamin keselamatan pelajar agar tidak perlu berebut-berebut menaiki bas. Kami akan menghargai segala apa yang UNIMAS telah lakukan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan penetap luar seperti kami”.


No comments:

Post a Comment